Leave a comment

Dalam Kenangan: Norhayati Bt Mohd Nor (1972 – 2014)

Catatan Adik untuk Kak Chik:

Hari ni dah masuk 11 hari Kak Chik dijemput Ilahi. Rindu, sayu, pilu dan berbagai lagi perasaan mencengkam jiwa. Kak Chik terlalu istimewa untuk Adik. Kak Chik seorang saja kakak kandung adik. Lahir di antara hero-hero, anak keempat daripada tujuh adik-beradik. Persis titik pemuafakatan antara hero-hero Mek Dayang & Pok Ngoh Nong. Penyeri dalam keluarga. Penyubur kasih sayang antara ahli keluarga.

 

Masih Adik ingat kenangan yang kita calitkan bersama. Yang paling lama kenangan antara kita adalah peristiwa terbabas basikal dalam semak. Kak Chik bawak basikal ayah, Adik membonceng di belakang. Masa tu Adik berumur empat tahun. Kecil lagi tapi Adik ingat peristiwa tu. Mungkin kerana kita jatuh bersama dalam semak. Adik menangis masa tu, Kak Chik suruh Adik berhenti menangis. Siap bagi ‘ugutan’ lagi. Hehe. “Jangan beritahu kat ayah pasal ni, kalau tidak lepas ni Kak Chik tak bawak naik basikal lagi”. Adik setuju dengan ‘perjanjian’ tu. Kita simpan rahsia tu sampai mak ayah pun tak tahu. Hehe.

 

Dulu masa Kak Chik kerja kat Selangor, rumah di kampung teramat sunyi. Walaupun kadang-kadang ada juga dengar tangisan Adik. Itupun Abang Chik Nori yang selalu usik-usik Adik. Kalau Kak Chik ada telefon kat rumah, adik-adik mesti akan tanya bila Kak Chik nak balik. Soalan wajib. Gembira bukan kepalang kalau dapat tahu Kak Chik ada nak balik. Countdown setiap hari. Adik selalu tanya mak, “Mak, bila Kak Chik nak balik?”. Bukan sekali ditanya. Kadang-kadang 3-4 kali dalam sehari. Naik bosan mak nak jawab.

 

Masih ingat lagi masa Kak Chik kahwin dengan Abang Chik Pezo. Masa tu Adik darjah 1. Majlis walimah diadakan di rumah keluarga Abang Chik Pezo di Taman Rakan, Kajang. Rombongan keluarga kita dari kampung dalam 7-8 orang jer. Adik ingat lagi saat Kak Chik bersanding. Makan bersuap. Jelesnya masa tu sebab Kak Chik suap nasi kat orang lain, bukan Adik. Adik pun tunjuk protes, mengamuk. Sabar je mak layan karenah anak bongsunya ini. Hehe

 

Lepas Kak Chik kahwin, ada sekali Kak Chik balik kampung dengan bas ekspress seorang diri. Kak Chik sampai kat rumah dekat-dekat nak masuk waktu Maghrib. Masa tu Adik ada bermain kat tanah Cikgu Man. Adik terus tinggalkan rakan-rakan sepermainan bila nampak kelibat Kak Chik jalan kaki ke arah rumah. Rindu punya pasal dengan Kak Chik. Adik ingat dengan jelas kat tangan kanan Kak Chik ada pegang beg, tangan kiri pula ada pegang kalendar motosikal yang Abang Chik Pezo bagi kat Adik & Abang Chik Nori. Cantiknya kalendar tu. Ada banyak. Honda, Kawasaki & Yamaha. Kami bahagi kalendar tu sama-sama. 

 

Tak lama lepas tu Kak Chik lahirkan Firdaus, anak saudara Adik yang kedua. Penyeri rumah mak ayah ketika tu. Walaupun Firdaus menangis sepanjang malam tapi kehadiran Firdaus menggembirakan kami. Pernah sekali dua Adik tengok Kak Chik menangis saat Firdaus menangis kuat di awal pagi. Kesian Adik tengok Kak Chik masa tu. Tapi Kak Chik tetap tabah.

 

Masa Kak Chik nak lahirkan Farhan, Kak Chik hadapi sedikit kesukaran nak ke hospital. Jalan kat depan rumah runtuh & terpaksa ikut laluan alternatif (laluan yang bertebing). Masa tu Adik tak sempat nak tengok macam mana keadaannya sebab adik tidur lena. Hehe. Lepas Farhan besar sedikit, Kak Chik ajak Adik pergi Kajang. Masa tu Adik lepas UPSR & itulah pengalaman Adik yang pertama naik kapal terbang. Best wooo. Yang Adik ingat, kita naik flight sekali dengan Saleem Iklim. Dia cubit pipi Farhan. Maka bermaustatin la Adik di rumah Kak Chik selama sebulan. Layan VCD cerita hindustan 24 jam. Maklumlah kat kampung mana ada VCD player. Masa tinggal dengan Kak Chik, ada satu pesanan Kak Chik yang adik ingat sampai saat ini. Kak Chik pesan “Sembahyanglah Dik, rugi kalu tak sembahyang”. Adik masa tu malas sembahyang. Tapi pesanan tu terus lekat di hati Adik. Alhamdulillah mula dari saat itu, Adik jaga sembahyang sampai sekarang. Semoga Allah memberi pahala berterusan kepada Kak Chik untuk pesanan itu. Sebulan tinggal dengan Kak Chik banyak memberi pengalaman manis kat Adik.

 

Selang beberapa ketika, Kak Chik sekeluarga berpindah ke Dungun. Gembiranya hati. Kak Chik dah balik Terengganu. Senanglah Adik nak jumpa Kak Chik. Cuti sekolah jer, Adik pergi Dungun. Duduk kat rumah Kak Chik. Main dengan anak-anak buah. Pendek kata, usia remaja banyak diluangkan masa dengan Kak Chik. Adik ingat lagi Kak Chik sanggup belikan Adik set pencuci muka Nutrimetics sebab Kak Chik tak sanggup tengok jerawat yang banyak kat muka Adik. Terima kasih Kak Chik.

 

Setelah rumah Kak Chik siap dibina, Adik bertambah gembira sebab Kak Chik nak menetap di kampung. Rasanya bukan Adik seorang yang gembira. Semua pun gembira masa tu. Ditambah kehadiran Farhana & Irdina. Maka lengkaplah kegembiraan kami semua. Mak ayah dapat tengok cucu-cucunya depan mata.

 

Selepas Kak Chik menetap di kampung, lagi bertambah coretan-coretan kenangan manis kita bersama. Berkelah ke Sekayu, shopping di malam raya, dan banyak lagi. Terlalu banyak, sampai Adik pun perlukan banyak masa untuk ingat kembali rentetan kegembiraan itu. Terima kasih Kak Chik kerana menghadirkan kegembiraan kepada kami semua.

 

Dulu Adik nak ubah design motor LC, Adik akan tanya pendapat Kak Chik dulu. Pandangan Kak Chik penting sebab kebiasaannya selera mata Kak Chik kena dengan selera Adik. Alhamdulillah pandangan Kak Chik semuanya bernas & berjaya direalitikan.

 

Masa Adik nak kahwin dengan Watie pun Kak Chiklah menjadi tunjang utama selaku penasihat, master-planner, organizer untuk majlis resepsi Adik. Kak Chik memang banyak berjasa dalam menguruskan majlis perkahwinan adik-adik. Dari majlis Abang Derr & Kak Na, majlis Adik & Wati, sehinggalah majlis Abang Chik Nori & Kak Ieja. Terima kasih Kak Chik.

 

Detik-detik yang Adik akan kenang sepanjang hayat Adik adalah masa kita bersama-sama berniaga di Bazar Ramadan. Kita sewa sama-sama. Watie jual lauk-pauk, Kak Chik jual Nasi Beriani, Mi Kari. Gerai kita pernah dinobatkan Gerai Terbersih. Adik dapat lihat kesungguhan & ketabahan Kak Chik. Kak Chik dah macam guna kudrat seorang lelaki walhal Kak Chik seorang wanita yang penuh dengan kelembutan. Kerjasama kita tidak berhenti di situ saja. Kita lanjutkan titipan kenangan bersama dengan bersama-sama menyewa kedai Mokde Som. Kak Chik jual menu sarapan pagi yang memang sedap. Adik & Watie jual menu makanan petang. Masih terlekat di lidah bagaimana sedapnya nasi dagang, nasi lemak ayam berempah & nasi minyak yang Kak Chik buat. Sungguh terkilan sekarang sudah tidak dapat lagi Adik merasai kesedapan menu dari air tangan Kak Chik.

 

Kak Chik, Adik sebenarnya tak dapat menahan kesedihan bila dapat tahu penyakit kanser payudara yang Kak Chik hidapi. Kesugulan wajah Kak Chik semasa mengetahui akan penyakit yang dihidapi meragut kegembiraan Kak Chik dan juga kami semua. Adik masih ingat Kak Chik tak dapat menghabiskan sarapan di Kedai Endut setelah Kak Chik tahu akan penyakit tu. Namun beberapa ketika Kak Chik bangkit. 

 

Ketabahan Kak Chik meyakinkan kami semua. Harapan seakan muncul kembali apabila dapat tengok Kak Chik cukup bertenaga selepas menjalani sesi kimoterapi sebanyak enam kali. Sedih juga melihat rambut Kak Chik yang gugur dengan mudahnya tanpa perlu disentap. Namun Kak Chik kuat semangat. Rambut-rambut Kak Chik turut mendapat tempias kekuatan semangat Kak Chik apabila tumbuh dengan lebatnya. Adik sangat gembira melihat keajaiban itu.

 

Kak Chik, setelah menjalani pembedahan kali kedua, Adik dapat rasakan yang Kak Chik sudah mahu dijemputNya. Melihat keadaan Kak Chik yang tenat & tidak berdaya membuatkan hati ini ingin menangis. Pernah satu ketika kita bersembang di beranda dapur. Kak Chik lontarkan soalan yang menyentap hati & sanubari Adik. “Dik, orang perempuan kalau dah mati boleh tak kafankan dengan telekung sembahyang?”. Allahurabbi, sentap hati Adik. Namun Adik cuba mengawal keadaan & cuba memberi jawapan yang Kak Chik inginkan. Dalam hati Allah sahaja yang tahu. Ditambah pula Kak Chik memesan mak supaya membelikan telekung yang baru. Sungguh, hati ini redha jika Kak Chik dijemput tapi penerimaan itu tidak mampu untuk dijangka.

 

Seminggu sebelum Kak Chik dijemput. Adik balik kampung tanpa dirancang. Mengikut perancangan asal, Adik mahu menyambut Aidiladha di Kampung Simpangan. Tapi perancangan Adik tidak mampu melawan perancangan Allah.

 

Aidiladha 1435, pertama kali melihat Kak Chik di wad 2CD Hospital Sultanah Nur Zahirah. Kaku kaki Adik nak melangkah ke arah Kak Chik. Tapi mahu tak mahu Adik kuatkan semangat. Tangan Kak Chik Adik jabatkan. Sejuk sungguh tangan Kak Chik. Air mata mahu menitis tapi Adik cuba nafikan. Kak Chik sudah tidak dapat mengingati banyak benda. Sedih sungguh Adik rasa.

 

Aidiladha kedua, Isnin. Adik berpeluang menjaga Kak Chik selepas menggantikan Abang Chik Pezo yang agak keletihan menjaga Kak Chik sepanjang malam. Peluang itu diguna sebaik mungkin. Adik suapkan buah epal yang dipotong dadu, membawa Kak Chik ke tandas, memandikan Kak Chik, menyuapkan air susu untuk Kak Chik. Syahdu sungguh! Kita cuba bersembang. Kak Chik ketawa, Adik amat gembira tengok senyuman tu. Rindu senyuman tu!! 

 

Khamis 9 Oktober 2014, keadaan Kak Chik bertambah gering. Dipendekkan cerita, kami meminta kebenaran untuk membawa pulang Kak Chik ke rumah. Memandangkan Kak Chik sudah semakin tenat. Alhamdulillah pihak hospital memberi kebenaran. Abang Chik Pezo menempah khidmat ambulans swasta untuk membawa Kak Chik ke rumah. Semasa di hospital & menunggu untuk dibawa pulang, Adik sempat membisikkan kalimah Allah di telinga Kak Chik. Kak Chik ikut satu persatu. Adik azan dan iqamah di telinga Kak Chik. Air mata Adik berjurai mengalir. Tak mampu ditahan lagi. Adik sampai di rumah selepas beberapa minit ambulans tiba. Kelihatan sudah ada beberapa sanak saudara yang berada di rumah. Suasana semakin rumit apabila ayah rebah setelah melihat keadaan Kak Chik. Adik cuba tenangkan keadaan ayah sambil dibantu oleh Pok Marzuki. Menjelang pukul 10 malam, orang ramai & saudara mara semakin ramai datang ke rumah. Adik bagai hilang arah. Pertama kali menghadapi suasana seperti ini. Alunan surah Yaasin membuatkan keadaan semakin genting. Adik akui sukar menerima keadaan ini. Selama ni hanya menonton di TV, tapi kali ini betul-betul di depan mata. 

 

Jumaat 10 Oktober 2014, orang ramai saling berganti ke rumah. Dalam hati Adik, andai Kak Chik dijemput hari ini, Adik bersyukur kerana hari ini adalah hari Jumaat. Ramai yang ingin dimatikan pada hari Jumaat. Namun sudah ditetapkan di Lauh Mahfuz. Kak Chik merintih sepanjang malam, tidak tidur langsung. Amat memeritkan jiwa melihat keadaan Kak Chik.

 

Sabtu 11 Oktober 2014, suasana pagi itu sangat memilukan. Orang ramai membacakan Yaasin. Kak Chik semakin genting. Nafasnya sudah panjang-panjang. Kami semua berkumpul di sekelilingnya. Abang Chik Pezo tidak putus-putus membisikkan kalimah Allah di telinga Kak Chik. Dengan harapan, Kak Chik kekal dengan kalimah ini walaupun apa bentuk ujian yang datang semasa sakaratulmaut. Sudah ditetapkan di Lauh Mahfuz, tidak awal & lewat walaupun sesaat, Kak Chik dijemputNya sekitar pukul 11.20. Suasana pilu menyelubungi seantero rumah. Adik sudah kehilangan Kak Chik. 

 

p/s: Alhamdulillah Adik berjaya mengikuti kesemua proses pengurusan jenazah Kak Chik. Paling membahagiakan Adik adalah senyuman Kak Chik semasa kain dibuka untuk dimandikan jenazah Kak Chik. Allahurabi. Al-fatihah untuk Kak Chik akan Adik utuskan